Ketua Saintis Teleskop FAST China Terima Anugerah Marcel Grossmann

人民网

      (Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 10 Julai 2024

      Ahli astronomi radio China, Li Di (kiri), iaitu ketua saintis Teleskop Radio Apertur Sfera 500 meter (FAST), menerima anugerah Marcel Grossmann di Pescara, Itali, pada 9 Julai 2024. (Xinhua/Li Jing)

      Ahli astronomi radio China, Li Di telah menerima Anugerah Marcel Grossmann pada Selasa berikutan sumbangannya dalam bidang letusan radio pantas (FRB).

      Beliau yang merupakan ketua saintis bagi Teleskop Radio Apertur Sfera 500 meter (FAST) itu merupakan saintis China pertama yang menerima anugerah fizik berprestij tersebut.

      Menurut jawatankuasa Mesyuarat Marcel Grossmann ke-17 yang sedang berlangsung di Pescara, Italy sehingga Jumaat, Li menerima anugerah itu susulan sumbangan perintis beliau kepada keupayaan saintifik teleskop radio paling sensitif di dunia, termasuk pengukuran tepat medan magnet antara bintang dan memajukan kajian FRB kepada kepentingan statistik yang tinggi.

      “Manusia berkongsi langit yang sama dan pembukaan astronomi antarabangsa adalah tidak dapat dielakkan.

      “Memperkuat kerjasama China-Kesatuan Eropah khususnya melalui perkongsian terbuka dalam data astronomi antara kedua-dua pihak akan memajukan penerokaan canggih, dan secara berkesan menghalang penyahgandingan ,” ujar Li kepada Xinhua.

      “Sumbangan terkini Li khususnya dalam bidang FRB yang penuh misteri telah mengubah pemahaman kami,” ujar Michael Kramer, pengarah Institut Max Planck untuk Astronomi Radio, sambil menambah bahawa kepimpinan saintifik Li dalam projek teleskop FAST dan penemuan yang didayakan oleh instrumen yang luar biasa ini menjadikan anugerah ini benar-benar luar biasa.

      Untuk rekod, Anugerah Marcel Grossmann telah diwujudkan pada 1985 dan dianjurkan setiap tiga tahun. Ia juga dianggap sebagai salah satu daripada anugerah fizik antarabangsa yang berprestij. Pemenang dari China yang terdahulu termasuk pemenang Hadiah Nobel, Yang Zhenning dan Li Zhengdao, serta ahli matematik bertaraf dunia, Qiu Chengtong.

      Mesyuart Marcel Grossmann yang diinisiatifkan pada 1975 bertujuan untuk mempromosi penyelidikan terhadap graviti, relativiti, dan bidang berkaitan, yang memfokuskan pada asas matematik, ramalan fizikal dan ujian eksperimen.

      Ahli astronomi radio China, Li Di, ketua saintis Teleskop Radio Sfera Apertur Lima ratus meter (FAST) China, membuat ucapan pada Mesyuarat Marcel Grossmann ke-17 di Pescara, Itali, 9 Julai 2024. (Xinhua/Li Jing)

      Para hadirin mendengar ucapan pada Mesyuarat Marcel Grossmann ke-17 di Pescara, Itali, pada 9 Julai 2024. (Xinhua/Li Jing)

      Ahli astronomi radio China, Li Di, ketua saintis Teleskop Radio Sfera Apertur Lima ratus meter (FAST) China, berucap pada Mesyuarat Marcel Grossmann ke-17 di Pescara, Itali, 9 Julai 2024. (Xinhua/Li Jing)