China, Filipina Setuju Teruskan Dialog mengenai LCS

人民网

      (CRI)Rabu 03 Julai 2024

      China dan Filipina mengadakan mesyuarat kesembilan berhubung Mekanisme Perundingan Dua Hala (BCM) di Laut China Selatan (LCS) di Manila, Filipina pada Selasa. 

      Kedua-dua kumpulan perunding yang masing-masing diketuai Naib MenteriLuar China Chen Xiaodong dan Timbalan Menteri Luar Filipina Theresa P. Lazaro telah bertukar-tukar pandangan dengan sikap ikhlas dan konstruktif mengenai keadaan di LCS, terutamanya mengenai kawalan situasi di perairan Ren'ai Jiao.

      China menegaskan lagi bahawa pihaknya mempunyai kedaulatan dan penguatkuasaan ke atas Kepulauan Nansha termasuk Ren'ai Jiao dan perairan di sekitarnya, dan menggesa Filipina untuk segera menghentikan tindakan pencerobohan dan provokasi di LCS, mematuhi pelbagai peraturan yang termaktub dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di LCS (DoC), kembali ke landasan yang betul untuk menangani perselisihan melalui dialog dan perundingan, dan bekerjasama dengan China untuk mengawal situasi di perairan Ren'ai Jiao, serta meredakan ketegangan di perairan terbabit supaya dapat membawa hubungan bilateral keluar dari kemerosotan.

      China dan Filipina berpendapat bahawa memandangkan pemeliharaan keamanan dan kestabilan di LCS selari dengan kepentingan kedua-dua pihak, dan juga merupakan matlamat bersama bagi negara-negara serantau, perlulah mengekalkan dialog dan perundingan menerusi mekanisme yang melibatkan BCM bagi mengelakkan konflik dan perselisihan daripada berlaku.

      Selain itu, kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai penambahbaikan mekanisme komunikasi berkaitan urusan maritim, menggalakkan dialog antara sektor pengawal pantai kedua-dua negara, selain memperkasakan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi marin serta perlindungan alam sekitar di laut.

      Turut hadir, wakil-wakil Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan, jabatan sumber alam dan Jabatan Pengawal Pantai dari kedua-dua negara.