Bangkai Kapal Singkap Legenda Jalan Sutera Laut Purba

人民网

      (Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 18 Jun 2024

      Foto tanpa tarikh ini memperlihatkan kepingan relik budaya yang didapatkan semula dari dua bangkai kapal purba yang dijumpai di Laut China Selatan. (NCHA/Disebarkan melalui Xinhua)

      Kira-kira 150 kilometer dari tenggara bandar Sanya di provinsi Hainan, selatan China, di kedalaman sekitar 1,500 meter bawah permukaan laut, bersemadinya dua bangkai kapal yang menjadi bukti kesibukan kegiatan perdagangan di sepanjang Jalan Sutera Laut purba.

      Menerusi usaha ekskavasi melibatkan institusi penyelidikan dan sebuah muzium tempatan, lebih 900 kepingan relik budaya berjaya didapatkan semula dari bangkai kapal tersebut sepanjang dua tahun lalu.

      Sejumlah 890 kepingan relik dibawa keluar dari bangkai kapal No. 1, yang termasuk barang porselin dan tembikar, dan juga syiling tembaga. Dari bangkai kapal No. 2 pula, 38 artifak purba termasuk kayu balak, barang porselin dan tembikar serta kulit siput dan tanduk rusa berjaya didapatkan semula, seperti yang dimaklumkan oleh Jabatan Pentadbiran Warisan Budaya Negara (NCHA) pada taklimat media, Khamis.

      Dijumpai pada Oktober 2022 berhampiran lereng benua barat laut Laut China Selatan, dua bangkai kapal yang terpelihara baik itu berasal dari zaman Dinasti Ming (1368-1644). Penemuan arkeologi laut dalam ini bukan sahaja penting bagi China, bahkan tidak kurang signifikannya di peringkat global.

      Memetik Song Jianzhong, petugas di Pusat Arkeologi Negara NCHA, kapal No. 1 kemungkinannya berlepas dari provinsi Guangdong atau Fujian menuju ke hab perdagangan Melaka, manakala kapal No. 2 mungkin dalam perjalanan pulang ke Guangdong atau Fujian membawa kayu dari Melaka.

      Artifak-artifak yang sangat halus buatannya ini jelas menggambarkan betapa sibuknya aktiviti perdagangan pada pertengahan Dinasti Ming. Demikian kata Song, yang turut menambah bahawa bahan-bahan ini bukti penting bagi perdagangan di Jalan Sutera Laut purba, juga menyediakan bahan rujukan fizikal untuk penyelidikan mengenai sejarah maritim China, sejarah perdagangan laut dan pertukaran budaya antara China dengan negara-negara lain.

      Kerja-kerja ekskavasi berkenaan dijayakan berkat sumbangan teknologi dan perkakasan laut dalam canggih untuk tinjauan arkeologi milik China. Pakar yang terlibat menggunakan pengimbas laser 3D, kamera berdefinisi tinggi serta alat pengepam dan peniup lumpur boleh tenggelam untuk melicinkan usaha ekskavasi.